Saturday 12 November 2011

Jangan Biarkan Hatimu Keras dan Lalai

Sebagai seorang Muslim, kita janganlah membiarkan hati kita bersifat keras dan bersikap kasar, sehingga apabila orang lain memberi nasihat atau teguran kepada kita, nasihat atau teguran tersebut tidak memberi apa-apa kesan sedikit pun kepada diri kita.

Apabila hati menjadi keras, lebih keras daripada batu, maka hati itu tidak akan merasa sedih atau hiba apabila disebut tentang kematian.  Hati itu tidak berasa gentar atau takut apabila mendengar pembalasan dari Allah, sama ada balasan itu dalam bentuk pahala (sekiranya melakukan kebaikan) atau seksaan (sekiranya melakukan dosa). Hati yang keras tidak akan berasa kecut apabila disebut tentang kehidupan manusia di alam akhirat kelak.

Malahan, doa kita juga tidak akan diterima Allah sekiranya hati kita keras dan lalai. Nabi Muhammad bersabda yang maksudnya:

"Ingatlah bahawa Allah tidak akan menerima doa dari hati yang lalai".

Hati yang lalai ialah hati yang tidak sedar apabila diingatkan tentang pelbagai macam petunjuk dari perintah-perintah Allah serta larangan-laranganNya.  Hati tersebut tidak akan mengambil kisah langsung tentang nasihat-nasihat agama.  Ini adalah kerana hati itu telah diselaputi dengan sifat-sifat lalai atau lupa bahana terlalu sibuk dengan urusan keduniaan, leka dengan hiburan yang melampau atau asyik melayani kehendak hawa nafsu yang sentiasa merasa tidak cukup atau puas.

Sebaliknya, kita wajib sentiasa mengingati Allah dengan rasa rendah diri, takut kepada Allah dan tidak lalai.

Imam Habib Abdullah Haddad di dalam kitabnya :Nasihat Agama dan Wasiat Iman (terjemahan Syed Ahmad Semait) menyatakan bahawa hati yang lalai terbahagi kepada 3 jenis manusia iaitu:

(i)   Seseorang itu dikira lalai apabila dia membaca Al-Quran atau mendengar orang lain membacanya; dia tidak melihat makna bacaan tersebut atau mendalami maksudnya, tiada dia menuruti perintah dan larangannya, tidak mengikut nasihat atau teguran yang terkandung di dalam ayat-ayat tersebut; 

(ii)  Seseorang yang tiada pernah mengingati mati. Dia tiada memandang berat tentang kehidupannya selepas mati.  Malahan, dia tidak mahu memikirkan sedikit pun tentang kematian dan bekalan yang perlu disediakannya untuk menuju ke alam akhirat kelak; atau

(iii)  Seseorang yang tidak mahu mendampingi para alim ulama yang selalu mengingatkannya tentang Allah, tentang agamanya, tentang baki-baki usianya  , tentang nikmat-nikmat yang disediakan Allah serta janji-janji Allah tentang ancaman yang akan diterima sekiranya melanggar perintahNya.

Akhirnya, marilah kita sentiasa menjaga hati kita agar hati tidak menjadi keras dan lalai tentang Allah.  Ingatlah bahawa kehidupan kita ini tidak lebih dari satu perjalanan yang singkat dan bakal menuju alam akhirat yang kekal abadi. 
  

No comments:

Post a Comment