Friday 30 September 2011

Nasi Ambeng dan Perpaduan Ummah

"Nasi Ambeng" adalah hidangan nasi yang diletakkan di dalam talam besar, untuk dimakan bersama-sama oleh 4 atau 5 orang tetamu. Pada kebiasaannya, nasi yang digunakan adalah nasi putih. Di atas nasi itu diletakkan segala lauk pauk, sayur-sayuran, sambal dan sebagainya.  Sebelum dimakan, kuah gulai akan disiram di atas nasi tersebut. Rasanya sangat enak.

Budaya makan nasi ambeng ini telah diamalkan oleh pendatang-pendatang dari Pulau Jawa, Indonesia. Apabila mereka berhijrah ke Tanah Melayu pada zaman dahulu, budaya makan nasi ambeng ini  terus diamalkan orang Jawa secara turun temurun sehingga ke zaman sekarang. Misalnya di Kg. Batu Belah, Klang; budaya makan nasi ambeng ini masih diamalkan orang-orang Jawa yang menetap di kampong tersebut sehingga ke hari ini. 

Orang-orang keturunan Jawa di Kg. Batu Belah, Klang  mengadakan jamuan nasi ambeng pada setiap malam Jumaat; iaitu selepas majlis membaca surah Yaasin dan Tahlil secara beramai-ramai. Majlis ini terbuka kepada semua ahli kariah masjid kampong tersebut, tidak kira sama ada mereka berketurunan Jawa atau lain-lain. 

Meskipun demikian, sesiapa yang berminat untuk menyertai majlis tersebut perlulah terlebih dahulu mendaftar diri kepada pihak penaja jamuan yang pada masa ini diketuai oleh seorang warga emas bernama Haji Shahid.  Setiap ahli kumpulan akan menaja jamuan nasi ambeng secara bergilir-gilir mengikut pusingan 3 bulan sekali. Sekiranya ahli baru bertambah, maka tempoh giliran masing-masing akan menjadi lebih lama lagi. Buat masa ini, setiap ahli dikenakan bayaran RM300.00 bagi tujuan menyediakan jamuan tersebut.

Menurut Hj Shahid, beliau telah menyertai kumpulan nasi ambeng ini sejak masih kanak-kanak lagi. Sekarang usianya telah menjangkau 85 tahun. Masa itu, jamuan nasi ambeng dimasak di rumah ahli kumpulan yang kena giliran menaja.  

Meskipun demikian, keadaan tersebut telah berubah. Pada masa ini, nasi ambeng akan di masak oleh katerer yang berpengalaman berdasarkan tempahan  daripada ahli kumpulan yang kena giliran menaja. Kos untuk menaja nasi ambeng semakin meningkat akibat kenaikan harga bahan makanan serta bilangan tetamu yang semakin ramai.

Budaya kenduri nasi ambeng ini banyak kebaikannya. Dengan adanya jamuan seumpama ini, hubungan silaturahim di kalangan ahli kariah kampong bertambah erat. Bilangan ahli jemaah yang datang ke masjid juga bertambah, terutama pada malam Jumaat.  Ini adalah kerana pada malam tersebut, umat Islam digalakkan membaca surah Yaasin dan Tahlil untuk dihadiahkan pahalnya kepada ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Selepa solat Isya, mereka akan bersama-sama menjamu selera makan nasi ambeng.

Nasi ambeng juga menjadi sumber pendapatan yang tetap serta lumayan kepada pihak katerer yang menjalankan perniagaan sajian makanan. 

Walaubagaimanapun, terdapat segelintir ahli kariah kampong tersebut yang tidak berminat menyertai kumpulan nasi ambeng tersebut. Ini adalah kerana mereka tidak selesa untuk makan bersama dengan tetamu lain dalam satu dulang besar. 

Saya berpendapat bahawa budaya makan nasi ambeng ini patut dipertahankan. Ini adalah kerana budaya tersebut mempunyai kebaikannya yang tersendiri. Amalan yang baik ini dapat menarik lebih ramai ahli kariah datang ke masjid atau surau untuk mengerjakan solat fardu secara berjemaah, membaca surah Yaasin dan bertahlil bersama serta menjamu selera juga bersama. Dengan cara itu, perpaduan ummah akan dapat dipupuk dan dikekalkan.  

No comments:

Post a Comment