Wednesday 21 September 2011

Peniaga Gerai Di Tepi Jalan

Sejak kebelakangan ini ramai penjaja berniaga di tepi-tepi jalan. Mereka menjual pelbagai jenis barangan seperti nasi lemak, lemang, buah-buahan, sayur-sayuran, ikan segar dan sebagainya.

Keadaan gerai-gerai mereka sangat daif. Ada yang menggunakan payung besar, kanvas dan ada juga membina pondok-pondok kayu. Mereka ini menjalankan perniagaan  tanpa permit atau kebenaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). 

Sekali sekala pegawai penguatkuasa PBT akan menjalankan operasi membenteras gerai-gerai tanpa permit itu. Gerai-gerai tersebut akan dirobohkan dan peralatan perniagaan seperti khemah, kerusi meja dan sebagainya akan dirampas. Penjaja-penjaja berkenaan akan datang ke PBT dan  menuntut balik khemah dan peralatan mereka. Pihak PBT akan mengenakan kompaun dan gerai meraka akan dipulangkan.

Peniaga-peniaga yang keras kepala tersebut akan membuka semula gerai-gerai mereka di lokasi yang sama dan meneruskan peniagaan "haram" mereka sehinggalah pihak penguatkuasa PBT datang semula menjalankan operasi mereka. Keadaan ini akan berterusan, tahun demi tahun tanpa sebarang perubahan.

Sebenarnya, kewujudan gerai-gerai di tepi jalan banyak menimbulkan masalah.  Orang ramai akan memberhentikan kenderaan mereka di bahu-bahu jalan untuk singgah ke gerai-gerai tersebut, hingga menyebabkan kesesakan dijalan raya dan mengundang kecelakaan. Asap yang datang dari gerai-gerai yang menjual lemang akan menambahkan lagi kesulitan kepada pengguna-pengguna jalan raya yang sedang melintasi kawasan tersebut.

Pihak penjaja perlu lebih bertanggungjawab dalam perkara ini. Carilah tempat-tempat yang lebih sesuai untuk berniaga. Janganlah memikirkan keuntungan perniagaan semata-mata, tanpa menghiraukan undang-undang dan peraturan serta kepentingan umum.

Terdapat juga penjaja gerai di tepi-tepi jalan masuk ke masjid atau surau yang terus berniaga walaupun azan solat telah dilaungkan. Mereka sanggup meninggalkan solat  semata-mata untuk mengejar sedikit keuntungan duniawi. Fenomena ini amat memalukan orang Islam. Dalam hal ini, Allah S.W.T bersabda yang marhumnya: 

"Wahai orang-orang yang beriman!. Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kaum, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertaburanlah kamu di muka bumi dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak supaya kamu berjaya."
                                              ~ Surah Al- Jumu'ah 62 :9-10 ~

Pihak PBT juga perlulah lebih tegas terhadap penjaja-penjaja "haram" tersebut. Mereka sepatutnya menjalankan operasi membentaras kegiatan peniaga-peniaga ini secara berkala. Jangan tunggu aduan dari orang ramai baru hendak "turun padang". Khemah-khemah dan peralatan penjaja berkenaan perlu dimusnahkan terus dan  para peniaga dikenakan saman.

Adalah disyorkan juga supaya PBT membina kiosk-kiosk sementara yang "standard" rekabentuknya untuk disewakan kepada penjaja-penjaja. Kiosk-kiosk tersebut bolehlah ditempatkan di kawasan-kawasan lapang, misalnya di perkarangan masjid/surau atau sekolah.  Pengurusan kiosk-kiosk itu boleh diserahkan kepada pihak Jawatankuasa masjid/surau atau Persatuan Ibu-Bapa/Guru (PIBG). Sebahagian daripada hasil kutipan sewanya boleh digunakan untuk mengisi tabung masjid/surau atau PIBG; selain daripada bayaran kepada pihak PBT.  

1 comment: