Friday 16 September 2011

Pendakwah Berniaga

Sejak akhir-akhir ini terdapat ramai penceramah di masjid-masjid atau surau-surau yang berniaga sambil memberi ceramah atau tazkirah mengenai agama.  Ini termasuklah beberapa orang ustaz "selebriti" yang sering muncul di kaca televisyen atau di radio-radio. 

Mereka ini datang ke masjid atau surau adalah atas jemputan pihak masjid atau surau serta dibayar saguhati mengikut kemampuan pihak masjid atau surau yang berkenaan. 

Golongan ini yang menganggap diri mereka sebagai "pendakwah" atau "ustaz" mendakwa bahawa mereka sahaja yang mampu menjalankan kerja-kerja dakwah. Mereka ini dikatakan mempunyai kelulusan aliran agama atau mempunyai kemahiran berpidato. 

Pada kebiasaannya, selepas berceramah, para pendakwah ini akan menjemput orang ramai untuk melihat bahan jualan ataupun produk-produk mereka yang dipamirkan di luar dewan solat atau pun di dalam but kereta mereka.  Kebanyakan produk yang dijual adalah produk-produk kesihatan, ubat-ubat tradisional, bahan makanan halal serta buku-buku yang ditulis mereka sendiri.

Para ustaz ini akan menyakinkan orang ramai yang hadir tentang kehebatan produk-produk yang mereka jual. Ada diantara mereka yang mendakwa bahawa produk mereka boleh menyembuhkan 1,001 jenis penyakit, orang tua boleh menjadi awit muda, kulit kendur boleh jadi tegang dan sebagainya. Tidak kurang juga ada ustaz yang mendakwa produk-produk mereka boleh memulihkan kehidupan intim pasangan suami isteri.

Ada juga orang yang membelinya walaupun harganya agak mahal. Orang ramai membeli bukan disebabkan mereka mengetahui kebaikan atau khasiat sesuatu produk itu, tapi sebaliknya kerana terpengaruh dengan kata-kata promosi yang disampaikan oleh para penceramah (pada masa yang sama sebagai peniaga).  Ketulenan produk-produk itu juga masih diragui. Rasa malu pula hendak bertanya kepada ustaz tentang ketulenan barang-barang tersebut. 


Meskipun demikian, terdapat juga penceramah-ceramah yang menyampaikan tazkirah semata-mata. Golongan ini tidak mencampuradukkan majlis-majlis ilmu dengan bisnes peribadi. Sebaliknya, pendakwah jenis ini akan memberi penerangan tentang ajaran Islam yang sebenarnya, hukum halal haram di dalam Islam dan sebagainya.  

Pada pendapat saya, pihak masjid atau surau perlulah lebih berhati-hati sebelum menjemput mana-mana pendakwah untuk menyampaikan ceramah atau tazkirah. Golongan "pendakwah" yang cuba mencampuradukkan majlis-majlis ilmu dengan sebarang bentuk jualbeli perlulah dielakkan. Jika perkara ini dibiarkan berterusan, kepercayaan ahli kariah masjid atau surau terhadap kredibiliti jawatankuasa masjid atau surau yang menganjurkan ceramah atau tazkirah seumpama itu akan terjejas.

Lagipun, kawasan masjid atau surau tidak boleh dijadikan tempat berjual beli atau mempromosikan sesuatu produk. 

Kita juga tidak mahu menggalakkan pihak-pihak berkenaan memperalatkan agama Islam untuk memasarkan perniagaan mereka.

Waallahu'alam.




No comments:

Post a Comment