Friday 2 September 2011

Pengajaran Dari Ibadat Puasa

Selamat Menyambut Eidulfitri. Maaf zahir dan batin.

Alhamdulillah, kita telah berjaya menunaikan ibadat puasa disepanjang bulan Ramadan yang lalu. Kini Ramadan telah meninggalkan kita semua. Semoga Ramadan pada tahun depan akan berkunjung kembali. Marilah kita semua berdoa agar Allah SWT memanjangkan umur kita serta sihat tubuh badan agar kita berpeluang untuk menunaikan ibadat puasa sekali lagi pada tahun hadapan.

Amalan puasa dibulan Ramadan yang lalu telah banyak meninggalkan pengajaran kepada kita semua. Disepanjang bulan yang mulia itu, kita telah diasuh agar membanyakkan amal ibadat dan melakukan amalan-amalan sunat yang lain semata-mata sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT.  Kita juga telah dilatih agar memupuk hubungan silaturrahim sesama ahli jemaah yang lain melalui program Iftar Ramadan seperti solat berjemaah, berbuka puasa bersama, moreh bersama, malahan bermunajat bersama melalui program Qiamullail Perdana di masjid/surau.

Adalah menjadi harapan kita semua agar amalan baik itu dapat diterus dan dikekalkan selepas bulan Ramadan ini.

Disamping itu, amalan puasa di bulan Ramadan yang lalu telah mengajar kita agar mengikis sikap buruk yang  wujud di dalam diri kita selama ini.  Kita dilatih agar menjaga mata kita agar jangan melihat perkara-perkara mungkar dan maksiat. Kita telah diasuh agar menjaga telinga kita sebaik mungkin, jangan mendengar cerita-cerita yang tidak berfaedah, mendengar umpat mengumpat, fitnah menfitnah dan hasut menghasut yang disampaikan oleh ejen-ejen syaitan yang berselindung disebalik majlis-majlis tazkirah, ceramah dan khutbah jumaat.

Kita juga digalakkan bersedekah kepada fakir miskin, anak yatim dan orang-orang yang memerlukan bantuan. Amalan zakat fitrah mengajar kita agar bersimpati dengan orang Islam yang menderita kebuluran diserata dunia, berkongsi kegembiraan tatkala menyambut Eidulfitri dengan bantuan yang dihulurkan walaupun sedikit tetapi dengan penuh keikhlasan.

Semoga selepas Ramadan ini, hati dan jiwa kita bersih sebersihnya seumpama seorang bayi yang baru dilahirkan!!!  

No comments:

Post a Comment